Sunday, March 15, 2009

KAWANKU SEORANG PEMBOHONG

Memang sukar untuk dipercayai, tetapi itulah hakikat sebenar yang berlaku. Rakan saya memang seorang pembohong! Namun lebih menyedihkan apabila rakan tersebut merupakan teman rapat saya. Sepanjang ingatan saya, sekurang-kurangnya lapan kali kawan tersebut membohongi saya. Saya perlu catatkan segala pembohongan itu agar dapat menjadi renungan kepada semua.


Cerita ini bermula ketika saya menyambung pelajaran di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Perkenalan saya dengan seorang pembantu mahasiswa yang bernama Ellison Sarikei Saman (Ecenz) apabila saya menyertai pertandingan debat sempena minggu Haluan Siswa telah menyebabkan kami berkawan baik.


Sebagai orang baru, saya diajar olehnya tentang teknik berdebat di alam universiti. Akibat tidak yakin kepada diri saya sendiri, saya menolak untuk menyertainya. Tetapi Ecenz cepat memujuk. Ketika kami kalah, saya selalu menyalahkan diri. Namun, sikap Ecenz yang profesional berjaya menipu saya dengan berkata : “Bagus tu! Kau memang hebatlah One.” - PEMBOHONGAN ECENZ YANG PERTAMA.


Setelah selesai minggu Haluan Siswa, sesi kelas pun bermula. Namun begitu, hubungan persahabatan saya dan Ecenz tidak pudar. Boleh dikatakan setiap hari sentiasa bersama. Pada suatu malam, saya dan Ecenz bersama rakan lain iaitu Wan dan Azuari pergi ke warung yang terletak di belakang kolej kediaman saya untuk mengisi perut. Dalam ramai-ramai itu, hanya Ecenz sahaja yang tidak memesan makanan. Lantas saya menjemputnya menjamah makanan saya. Tetapi Ecenz dengan cepat menolaknya. Ecenz berkata : “Makanlah One, saya tak lapar.” - PEMBOHONGAN ECENZ YANG KEDUA.


Pada suatu hari, saya terserempak dengan Ecenz sewaktu beliau pulang dari kelas. Saya dapat melihat dari raut wajahnya, Ecenz penat memandangkan dia terpaksa berjalan kaki berulang-alik ke fakultinya yang jauh. Melihat tubuhnya yang dibasahi peluh, saya segera menghulurkan air dan menyuruhnya minum. Tetapi Ecenz cepat-cepat menolaknya dan berkata : “Taknaklah One, saya tak haus!” - PEMBOHONGAN ECENZ YANG KETIGA.


Pada setiap malam Sabtu, kami berempat selalu menghabiskan masa yang terluang dengan bermain badminton sehingga fajar mentari terbit. Sesekali kami beralih arah ke permainan tennis apabila sudah muak dengan badminton. Apabila penat kami akan berhenti seketika untuk berehat. Tatkala kami sedang duduk berehat, Ecenz masih gigih dan tekun bermain. Apabila saya menyuruhnya berhenti, dia terus menyahut kata-kata saya dengan berkata : “Takpe, saya tak penat lagi.” - PEMBOHONGAN ECENZ YANG KEEMPAT.


Jika terdapat waktu terluang, saya dan Ecenz selalu melepak di bilik Azuari. Di situ kami sering bertukar cerita dan berkongsi pendapat masing-masing selain gurauan antara saya dan Azuari. Ecenz selalu juga mengadu tentang nasibnya dan sedikit latar belakang tentang keluarganya. Mendengarkan kisah tersebut membuatkan saya sering insaf dan berfikir sejenak tentang nasib dirinya terutama dalam hal yang berkaitan dengan masalah kewangan. Saya turut terpanggil untuk cuba membantu sekurang-kurangnya dapat juga meringankan bebanan yang ditanggung Ecenz. Saya pernah menawarkan Ecenz sejumlah wang untuk dibelanja, namun dengan cepat Ecenz menolak. Setiap kali saya berbuat demikian dia pasti akan menolaknya dan berkata : “Saya tak perlu duit kau. Saya masih ada duit.” - PEMBOHONGAN ECENZ YANG KELIMA.


Bulan Oktober dan November merupakan bulan peperiksaan semester bagi semua pelajar di Universiti Malaya. Akibat terlalu fokus dan sibuk terhadap pelajaran, hubungan saya, Ecenz, dan Azuari dengan Wan mengalami sedikit perantakan akibat perselisihan faham sesama sendiri. Namun saya mengamalkan sikap berkecuali bagi memastikan hubungan persahabatan yang terjalin tidak diputuskan begitu sahaja. Pada suatu hari, ketika saya melepak di bilik Azuari, saya terkejut apabila dia menceritakan pergaduhan kecil antara Ecenz dan Wan. Saya langsung tidak mengetahui tentang hal tersebut. Lantaran itu, saya terus mencapai telefon bimbit dan menghantar mesej kepada Ecenz bertanyakan hal tersebut. Lalu Ecenz membalasnya : “Saya tak bergaduhlah. Saya okey je dengan dia (Wan).” - PEMBOHONGAN ECENZ YANG KEENAM.


Di kolej, saya banyak melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti kolej seperti mewakili sukan Squasy, tarian, dan juga projek-projek bagi memastikan saya layak untuk menginap di kolej itu lagi pada tahun hadapan. Oleh kerana terlalu sibuk dengan aktiviti, jadual saya di kolej sangat padat. Akibatnya, saya sering keletihan dan kadang-kadang badan berasa lemah. Apabila dapat bersama dengan kawan-kawan termasuklah Ecenz, saya akan mengadu hal ini. Namun reaksi yang saya terima daripada Ecenz sangat berbeza. Dia pasti akan memuji dirinya dengan berkata : “Lihat saya. Saya tak pernah demam. Saya tak pernah sakit.” - PEMBOHONGAN ECENZ YANG KETUJUH.


Suatu hari, setelah tamat latihan tarian, saya bersama Ecenz pergi melepak di bilik Azuari. Disitu dia telah berjanji untuk melihat persembahan tarian saya semasa Festival Seni Universiti Malaya yang akan berlangsung pada bulan Januari 2007 dan dia juga mahu menyertai pertandingan 8thplorace bersama kami. Beberapa minggu berlalu, minggu peperiksaan pun tamat. Saya mengambil keputusan untuk pulang ke kampung sempena cuti semester. Ecenz sudah pulang lebih awal kerana peperiksaannya habis terlebih dahulu daripada saya. Suatu pagi, saya menerima berita Ecenz telah pergi meninggalkan kami semua. Berita yang disampaikan oleh Wan itu menyebabkan saya terpaku sejenak. Segala ingatan saya terus melayang mengingatkan wajahnya, janji-janjinya dan kenangan kami bersama dengannya. - PEMBOHONGAN ECENZ YANG KELAPAN.


Setelah melakukan pembohongannya yang kelapan itu, Ecenz telahpun menutup matanya untuk terakhir kali. Tetapi kita semua bertuah kerana masih mempunyai rakan-rakan yang lain. Kalau rakan anda jauh dari mata, anda boleh menelefonnya sekarang dan ucapkanlah “terima kasih”. Hargailah rakan anda tersebut kerana jika rakan yang benar-benar bermakna telah tiada sudah pasti kita akan merasai kehilangannya. Sehingga kini, saya diburu rasa bersalah dan tidak dapat menerima hakikat pemergiannya kerana saya tidak pernah sempat mengucapkan kalimah tersebut kepadanya, sehinggalah saat Ecenz menghembuskan nafasnya yang terakhir. Ecenz, maafkan aku. Terima kasih kerana menjadi kawan baik dan ‘abang’ kepada aku…


*kepada sesiapa yang tidak mengenali ecenz..inilah gambarnya...

R.I.P

ELLISON SERIKEI SAMAN

*Cenz...andaikata waktu itu boleh ak undurkan...xkn ak biarkan kau pergi Cenz...sehingga saat dan waktu ini...ak masih tak lupakan kau Cenz...hampir setiap hari ak melalui court badminton itu..ak akan terkenangkan kenangan kita semua bersama..dan tatkala itu juga air mata ak ingin mengalir...tetapi ak masih mampu menyekatnya...
*Cenz...sem ni sem last ak d kk8..dan sehingga ke hari ini ak masih menyimpan dan memegang amanat yg kau berikan pada ak Cenz...terima kasih atas segalanya...jasamu tetap kusanjung tinggi..


2 comments:

nur sharmila said...

huhu..sedih bangat lak baca ko punya cita nie...huhu

A.B.U said...

huhu...
xyah la sedey...
mmg dh nasib malang ak camni