Friday, April 3, 2009

KE MANA HALA TUJU WAWASAN 2020?


Tidak ramai menyedari bahawa 28 Februari lalu genaplah 16 tahun Wawasan 2020 diisytiharkan oleh mantan Perdana Menteri, Dato. Seri Dr. Mahathir Mohamed. Ini juga beerti lagi 16 tahun untuk Malaysia melangkah ke tahun 2020 sebagai negara bertaraf maju menurut ‘acuan kita sendiri’.

Namun, adakah kemajuan yang diidamkan itu benar-benar bermakna kepada kita semua sekiranya pembangunan dan pengukuhan aspek moral, sahsiah, akauntabiliti dan integriti masih tidak diberi keutamaan? Adakah dengan dasar dan tindakan kita selepas pelancaran Wawasan 2020 itu benar-benar menurut acuan kita sendiri?

Walaupun sembilan cabaran yang telah digariskan dalam Wawasan 2020 turut menyentuh tentang pembentukan sahsiah, berbudi dan budaya penyayang namun kita lebih cenderung kepada aspek ekonomi dan kebendaan.

Kes-kes membabitkan penyimpangan nilai sosial sepanjang Februari lalu adalah manifestasi pengabaian kita terhadap pemantapan moral dan insaniah dalam keghairahan kita mahu menjadi bangsa yang maju.

Kejadian menjerut anak kandung sehingga mati, guru mencederakan murid dengan kasut tumit tingginya, serta penganiayaan terhadap pelatih baru Kolej Tentera Udara (KTU) adalah sebahagian kes yang menuntut kita berfikir dan meneliti semula hala tuju Wawasan 2020 untuk mewujudkan masyarakat yang juga maju akal budinya. Ini belum mengambil kira gejala sosial yang sedia ada seperti pelacuran, penagihan dan pengedaran najis dadah, pembuangan bayi, lumba haram, penyalahgunaan teknologi untuk pornografi dan sebagainya.

Selain kemerosotan akhlak yang sering dikaitkan dengan golongan muda, aspek seperti akauntabiliti dan integriti juga masih lagi kurang diberi penekanan walaupun kita mahu muncul menjadi bangsa yang maju. Penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa masih meluas.

Akibatnya, berlakulah pecah amanah dan rasuah di kalangan mereka yang diberi tanggungjawab. Merampas hak orang lain sama ada secara senyap mahupun bersembunyi meletakkan kita sebagai individu yang tidak jujur dan bertanggungjawab. Tentu sekali keadaan tersebut muncul apabila diri berkiblatkan fahaman individualistik sehingga mengatasi kepentingan kolektif.

Tahap kesedaran sivik bangsa Malaysia juga masih belum mencapai taraf bangsa yang maju. Tidak mustahil minda kelas ketiga akan disebut lagi pada tahun 2020 jika sikap negatif seperti tidak menghormati orang yang lebih tua, membuang sampah di merata-rata tempat, mencemarkan sungai, berlagak samseng di jalan raya dan sebagainya masih berleluasa. Budaya berhibur melampau atau hedonisme juga akan meletakkan kemajuan kita tidak ubah seperti di negara Barat.

Pembentukan bangsa Malaysia dengan identiti dan perpaduan kebangsaan dalam erti kata yang sebenar perlu diberi perhatian. Polarisasi antara kaum yang dibiarkan ibarat bibit-bibit yang akan menyumbang kepada ketidakstabilan sosial pada masa jangka panjang.

Tolak-ansur di antara kaum yang juga terkandung di dalam Wawasan 2020 bukan bererti kita membenarkan kaum-kaum tertentu begitu bebas menonjolkan ciri-ciri perkauman masing-masing. Hakikatnya, bidang pendidikan dan penyiaran seharusnya digunakan sebagai wahana terbaik yang dapat menggalakkan interaksi antara kaum.

Globalisasi juga tidak wajar dijadikan alasan untuk bersikap terlalu liberal terhadap kuasa ekonomi asing. Terbaharu, Perjanjian FTA perlu benar-benar diteliti demi tidak mengadaikan maruah dan tanah air ini kepada pihak kapitalis.

Hakikatnya, kita perlu merencanakan agenda sosial yang konsisten untuk mengisi pemikiran bangsa Malaysia supaya ampuh berhadapan dengan cabaran-cabaran yang mendatang. Budaya membaca dan usaha menggiatkan bahan penerbitan bermutu penting bagi mematangkan fikiran bangsa. Perbincangan yang rasional dan kritikan membina juga mestilah disemarakan pada setiap peringkat umur sebagai syarat melahirkan masyarakat yang maju daya intelektualnya.

Rentetan peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah bangsa dan tanah air ini wajar benar dijadikan pedoman untuk tindakan kita pada masa akan datang. Hanya bangsa yang mempelajari dan menghayati sejarah akan berupaya muncul sebagai bangsa maju berfikiran kelas pertama. Bangsa Malaysia yang progresif pada tahun 2020 akan tinggal sekadar utopia jika kita terlalu menekankan kemajuan ekonomi dan sains teknologi tanpa diisi dengan elemen-elemen rohani dan kemanusiaan.

Hasrat murni yang terkandung di dalam Wawasan 2020 tidak wajar dibiarkan cantik di atas kertas dan sekadar menjadi bahan bacaan bakal pegawai kerajaan sahaja. Revolusi sosial diperlukan bagi memastikan bangsa Malaysia maju berdasarkan ‘acuan kita sendiri’ dalam erti kata yang hakiki. Apapun, ini hanya menjadi kenyataan jika dasar atau tindakan yang mahu dilaksanakan mengambil kira terlebih dahulu pandangan para ilmuwan, budayawan, golongan agama dan saintis bukan sekadar ahli politik atau pakar ekonomi sahaja.
MOHD ARIF ATAN,
Universiti Malaya.

No comments: