Friday, April 3, 2009

TAHUKAH KITA?


Saudara Pengarang,


Tulisan saudara Ashraf dalam ruangan ini pada Selasa lalu ( 2 Januari 2007) jelas menyokong dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) yang telah empat tahun dilaksanakan.

Namun, kita tidak pula harus menganggap bantahan oleh sesetengah masyarakat terhadap dasar ini sebagai tindakan melulu dan berfikiran jumud.

Jika tidak, kita seolah-olah mengkhianati prinsip demokrasi yang diamalkan di negara ini kerana menolak bulat-bulat pandangan pihak yang mahu PPSMI diteliti semula.

Peluang dan ruang untuk menyatakan pendapat harus diberikan kepada kedua-dua pihak baik yang menyokong mahupun yang membantah. Namun, apa yang penting setiap hujah atau kenyataan yang diberikan perlu disusuli dengan bukti yang wajar.

Sepertimana pihak yang menyokong pelaksanaan dasar ini, begitu juga pihak yang bimbang akan kesan jangka masa panjang yang timbul kelak. Masing-masing mempunyai alasan dan sebab tersendiri. Apa yang berbeza ialah sejauh mana pendapat tersebut disokong bersama-sama bukti yang sahih.


Pada mulanya, PPSMI dibuat atas keinginan mahu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris (BI) di kalangan pelajar. Namun, benarkah matlamat tersebut dapat dicapai melalui kedua-dua subjek kritikal tersebut?


Sejauh manakah subjek Sains dan Matematik benar-benar berkesan dijadikan alat untuk menguasai BI sedangkan tahap penguasaan BI itu sendiri di kalangan sebahagian besar pelajar kita masih lemah?

Keputusan bagi subjek BI dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2006 yang diumumkan pada 28 Disember lalu mencatatkan kegagalan paling tinggi berbanding subjek lain dengan 118,513 calon gagal iaitu mendapat gred E.

Malah, ramai yang mungkin tidak tahu bahawa jumlah calon yang gagal dalam BI pada tahun 2006 sebenarnya meningkat berbanding tahun sebelumnya.

Sejumlah 106,734 pelajar atau 26.2 peratus daripada 407,149 calon PMR pada tahun 2005 gagal dalam kertas bahasa tersebut.

Itu belum mengambil kira jumlah mereka yang memperolah hanya gred C dan D sahaja yang tentunya menggambarkan tahap penguasaan BI yang masih lemah.


Oleh itu, mahu tidak mahu kita harus mengakui ada sesuatu yang tidak kena dengan pelaksanaan pengajaran kelas bahasa Inggeris yang diamalkan kini.

Ini kerana walaupun pelajar kita pada peringkat PMR ini telah didedahkan selama 9 tahun dengan pengajaran BI semenjak dari Tahun 1, namun BI masih mencatatkan jumlah pelajar gagal yang besar jumlahnya.


Hakikatnya, kaedah pengajaran dan pendekatan yang digunakan dalam kelas BI masih gagal merangsang pelajar untuk meminati seterusnya mahir dalam bahasa itu.

Masih banyak aspek yang perlu diperbaiki mahupun dirombak sama sekali jika kita benar-benar mahu memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.


Nyata, kemahiran berbahasa Inggeris tidak akan dapat dicapai hanya dengan segala macam rumus Matematik dan konsep Sains serta bentuk ayat yang teknikal sifatntya.

Oleh itu, kaedah pengajaran BI yang diamalkan kini mesti diteliti semula dan dirombak. Pelajar juga perlu dilatih supaya lebih banyak membaca dan berkomunikasi berbanding hanya sibuk menyalin segala hukum tatabahasa atau ‘tense’ yang ada.

Tindakan ini perlu dilakukan jika kita benar-benar mahu melihat pelajar kita mahir dalam BI.

Mata pelajaran seperti Matematik dan Sains bukanlah wahana yang berkesan bagi memantapkan penguasaan BI di kalangan pelajar.

Berdasarkan kenyataan inilah, pihak yang sanggup melabelkan mereka yang mahu PPSMI diteliti semula sebagai berfikiran jumud amatlah keterlaluan. Kita harus menilai sesuatu dengan fikiran yang matang tanpa dipengaruhi dengan sentimen taksubnya terhadap bahasa Inggeris.



Sekian, terima kasih.


MOHD ARIF ATAN
Akademi Pengajian Melayu,
Universiti Malaya.

No comments: