Thursday, May 7, 2009

Tips Penjimatan Minyak

Rancang Perjalanan


Rancang perjalanan anda, tidak kira untuk perjalanan jauh, ke tempat kerja mahupun sekadar bersiar-siar di sekitar kediaman. Bagi perjalanan jauh, pastikan keluar lebih awal, anggarkan penggunaan minyak dan jarak agar tidak perlu terburu-buru yang menyebabkan anda perlu menekan pedal minyak lebih daripada yang sepatutnya. Untuk perjalanan dekat juga perlu keluar awal agar tidak tersangkut di dalam kesesakan yang boleh menyebabkan pergerakan menjadi perlahan dan membazir minyak semata-mata untuk beratur panjang.


Guna Kenderaan Kecil


Sudah banyak pilihan kenderaan kecil di pasaran kini sama ada buatan tempatan mahupun luar negara. Penggunaan kenderaan kecil secara logiknya akan menjimatkan penggunaan minyak. Namun, perlu diingatkan kenderaan perlu diservis mengikut jadual bagi memaksimumkan penjimatan.


Kurangkan Muatan


Jangan bawa muatan berlebihan pada kenderaan anda sama ada penumpang mahupun barangan lain. Sebagai contoh, jika kenderaan tersebut boleh memuatkan 5 orang penumpang, bawa hanya empat orang sahaja bagi mengimbangi kuasa enjin kenderaan. Keluarkan aksesori yang memberatkan kenderaan seperti kotak speaker atau apa-apa pun barang lain yang boleh memberatkan kenderaan.


Tayar dan Suspensi


Pastikan tekanan angin tayar sesuai mengikut spesifikasi dan suspensi berada dalam keadaan baik kerana kekurangan tekanan angin dan suspensi yang rosak akan menyebabkan kenderaan membuai serta menyebabkan kuasa enjin berlebihan diperlukan, ia sudah pasti membazir minyak.


Pemanduan


Jangan pandu kenderaan secara lasak atau terburu-buru. Elakkan menekan pedal minyak terus ke lantai kenderaan. Kurangkan brek mengejut dan jangan amalkan menukar gear pada RPM yang tidak betul.


Penjimat Minyak


Cuba alternatif lain bagi menjimatkan penggunaan minyak seperti memasang alat penjimat minyak.


NGV/Gas Asli


Dengan harga gas NGV hanya pada RM0.68 seliter, ia adalah alternatif yang sangat berbaloi untuk menjadi pilihan. Bagi yang tinggal di Lembah Kelang atau Kuala Lumpur, terdapat lebih 80 stesen minyak yang membekalkan gas NGV serta berpuluh pusat pemasangan dan servis kenderaan dengan kos RM3,000-RM6,000.


No comments: